Kisah Barsisa
Kisah Barsisa ini adalah kisah teladan yang menunjukkan bahawa iblis sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia. Salah satu kelemahan manusia ialah nafsu syahwatnya. Barsisa adalah seorang ahli ibadah Bani Israil yang begitu kuat beribadah tetapi kurang berilmu serta tidak dapat mengetahui tipu daya iblis akhirnya mati dalam keadaan kafir. Kisah ini diambil dari buku Rawatan Gangguan Makhluk Halus Menurut Al-Quran Dan As-Sunnah oleh Prof. Dr Haron Din dan Dr. Amran Kasimin cetakan tahun 1990 (buku ini tiada lagi di pasaran setelah digantikan dengan cetakan tahun 1997 - cetakan 1997 ini tidak lagi mencatatkan kisah Barsisa ini). Ikuti kisahnya...
Ibn Abbas r.a. mengisahkan bahawa pada zaman dahulu terdapat seorang lelaki yang sangat salih bernama Barsisa, yang telah beribadat di satu tempat ibadat selama 70 tahun. Dia tidak pernah melakukan maksiat biarpun sekelip mata.
Pada satu hari iblis telah mengumpulkan satu golongan syaitan yang bijak-bijak dan bertanya, siapakah di antara mereka yang sanggup membinasakan Barsisa. Mendengarkan pertanyaan itu, iblis bernama Si Putih berjanji akan melakukannya. Si Putih mengatur langkah dengan mencukur licin tengah-tengah kepalanya dan berpakaian seperti pakaian yang dipakai oleh Barsisa, yang menunjukkan bahawa dia adalah seorang rahib yang salih dan ahli ibadah. Kemudian ia pergi ke tempat Barsisa beribadat. Setibanya di sana dia terus memberi salam, tetapi tidak mendapat jawapan. Barsisa tidak berhenti daripada sembahyangnya kecuali setelah 10 hari. Ia hanya berhenti makan sekali dalam 10 hari. Melihatkan Barsisa tidak memperdulikannya, Si Putih pun ikut Barsisa sembahyang dan beribadat. Apabila Barsisa berhenti sembahyang, ia ternampak Si Putih sedang berdiri sembahyang seperti kelakuan seorang ahli ibadat.
Melihatkan demikian dia berkata:
“Saudara memanggil saya ketika sembahyang tadi. Apa hajat saudara?”
“Hajat saya, saya ingin bersama tuan. Berguru kepada tuan. Agar dapat saya beribadah seperti yang tuan lakukan. Kita sama-sama beribadat. Tuan berdoa kepada Allah untuk diri saya dan saya berdoa untuk tuan”. Tegas Si Putih pendek.
Sayang sekali saya tidak dapat memenuhi permintaan saudara. Apabila saudara telah termasuk dalam golongan orang yang beriman, ini bermakna saudara termasuk dalam doa saya kepada Allah apabila dikabulkan”.
Barsisa kembali beribadah meninggalkan Si Putih. Si Putih meneruskan ibadahnya dengan berpura-pura bersembahyang tanpa dilihat oleh Barsisa selama 40 hari. Bila ia berhenti sembahyang dilihatnya Si Putih masih lagi sembahyang. Melihatkan kesungguhan sedemikian rupa, Barsisa bertanya,
“Apa sebenarnya hajat saudara?”
“Hajat saya ingin beribadat bersama tuan”. Jawab Si Putih dengan penuh hati-hati.
“Kalau boleh, dapat kiranya tuan izinkan saya naik ke tempat tuan beribadah”.
“Barsisa mula tertarik hati kepada Si Putih lalu mengizinkannya naik. Kemudian ia pun beribadah semula bersama-sama Si Putih selama setahun, tanpa makan kecuali selepas 40 hari, dan tidak berhenti sembahyang kecuali sekali setiap 40 hari. Kadang-kadang sampai 80 hari.
Melihat kesungguhan Si Putih, Barsisa merasa kesal terhadap perkara yang telah dilakukan. Dalam masa yang sama dia merasa kagum dengan ibadah yang dilakukan oleh Si Putih. Setelah cukup setahun, Si Putih berkata kepada Barsisa.
“Saya mahu pergi sekejap untuk menemui teman”.
Barsisa merasa berat hendak berpisah dengan temannya tetapi ia terpaksa melepaskannya pergi. Ketika hampir pergi Si Putih berkata kepadanya.
“Sebelum saya pergi saya ingin mengajar tuan beberapa doa. Tuan boleh dunakan untuk mengubati pesakit terutamanya orang yang menderita gila”.
“Saya tidak memerlukannya. Saya takut bila orang ramai tahu, mereka akan datang berjumpa dengan saya. Semuanya ini akan mengganggu ibadah saya kepada Allah.” Barsisa menjawab dengan ikhlas.
Si Putih tetap mengajarnya ilmu tersebut. Kemudian ia beredar menemui iblis. Iblis berkata kepadanya bahawa Barsisa akan binasa.
Si Putih telah berjumpa dengan seorang lelaki, lalu mencekiknya. Kemudian ia datang menjelma dirinya berlagak seperti seorang yang pa ndai mengubati penyakit lalu menemui keluarga lelaki tersebut dan berkata.
“Saudara kamu kena rasuk hantu. Adakah kamu perlukan saya merawatnya?” Mereka semuanya menjawab mengatakan benar.
“Maaf, saya tidak berupaya mengubati sakitnya… tetapi, rasanya elok kalau saya tunjukkan seorang lelaki yang boleh mengubatinya dengan cara berdoa kepada Allah. Dia akan sembuh.” Si Putih mula membuat helah.
Lalu ia memberitahu Barsisa. Keluarga pesakit dengan segera menemui Barsisa dan memohon pertolongan daripadanya. Apabila Barsisa membaca doa yang diberi oleh iblis dahulu, maka pesakit pun sembuh.
Demikianlah halnya yang dilakukan oleh Si Putih kepada beberapa orang lain. Setiap kali melakukannya dan orang yang berkenaan sakit, ia akan menjelmakan dirinya dan memberitahu kepada keluarga pesakit ke mana seharusnya mereka pergi untuk mendapatkan pertolongan.
Akhirnya Si Putih pergi kepada seorang perempuan muda dari golongan ternama Bani Israil lalu menyeksa dan mencekiknya. Kemudian ia menjelmakan diri berlagak seperti seorang lelaki yang pandai mengubati penyakit lalu menemui keluarga perempuan tadi.
“Adakah saya perlu merawatnya.” Tanya Si Putih pura-pura.
“Ya”. Jawab mereka semua dalam kecemasan.
“Perempuan ini dirasuk syaitan. Sayangnya saya tidak berupaya hendak mengubatinya. Tetapi kalau tuan-tuan mahu, tuan-tuan boleh berjumpa dengan seorang lelaki yang banyak ilmu, dia boleh mengubati orang kena rasuk. Kamu bawa perempuan itu kepadanya. Bila ia sakit dirasuk syaitan dia akan berdoa kepada Allah dan pesakit akan sembuh.” “Bagaimana kita semua hendak berbuat demikian. Dia seorang lelaki ternama lagi tinggi martabatnya?” Tanya keluarga perempuan tersebut.
“Itu mudah sahaja. Tuan-tuan boleh bina sebuah biara berhampiran dengan biaranya. Barsisa akan mengubatinya. Kalau dia enggan merawat, tinggalkan sahaja perempuan di biara. Sakitnya parah dan tidak mudah sembuh.” Si Putih memberi jalan.
Keluarga perempuan itu pun melakukan apa yang telah disyorkan oleh Si Putih. Setelah biara dibinam perempuan itu pun ditinggalkan di situ, menyerahkannya kepada Barsisa untuk dirawat. Setelah itu mereka pun memohon diri pulang.
Tatkala Barsisa berhenti sembahyang, matanya tertumpu kepada perempuan yang begitu cantik, menjadikan hatinya berdebar-debar tertawan melihatnya. Ketika itu syaitan pun datang dan mencekik perempuan tadi. Barsisa datang merawatnya dengan membaca doa yang diberi oleh syaitan dahulu lalu sembuh. Setelah itu dia pun kembali sembahyang semula. Syaitan datang lagi dan mencekiknya. Barsisa datang untuk mengubatinya. Ketika itu si perempuan yang sedang sakit itu tidak sedarkan diri pakaiannya terlucut dari badan. Syaitan datang membisikkan di hati Barsisa, serta mengapi-apikannya supaya melakukan zina. Ini adalah peluang keemasan yang tidak mudah diperolehi. Selepas itu dia boleh bertaubat. Dia akan memperolehi apa yang dia mahu. Begitulah bisikan dan godaan iblis syaitan berulang kali. Akhirnya Barsisa tidak berupaya hendak mengawal dirinya lalu melakukan zina. Dia mengulangi perbuatannya tadi beberapa kali hingga perempuan itu besar kandungannya.
Ketika itu Si Putih menemui Barsisa dan berkata:
“Alangkahnya celakanya engkau wahai Barsisa. Kau telah melakukan perbuatan jenayah. Melakukan zina dengan perempuan yang diamanahkan kepada kau. Tidakkah kau malu bila keluarganya datang dan melihat anaknya hamil”?
Barsisa begitu terperanjat dan menyedari perbuatannya yang terlanjur. Melihat keadaan yang demikian, Si Putih berkata,
“Untuk mengelakkan diri daripada kecelakaan, mungkin kau perlu bunuh perempuan itu. Nanti bila saudara-saudaranya datang, katakana pada mereka yang perempuan itu telah dirasuk syaitan, kau tidak berupaya merawatnya…”
Hasutan Si Putih masuk dalam hatinya lalu dia masuk ke bilik perempuan tadi dan membunuhnya. Kemudian Barsisa membawa mayat itu keluar dan menanamnya di tepi sebuah bukit. Syaitan datang ketika Barsisa menanam mayat di waktu malam, lalu ia menarik keluar hujung kainnya dan ditinggalkan nampak di atas tanah.
Setelah itu Barsisa balik ke tempat ibadahnya dan bersembahyang. Tiba-tiba datanglah sau d
ara mara perempuan tadi bertanyakan hal. Barsisa memberitahu apa yang diajar oleh Si Putih dengan mengatakan bahawa perempuan itu telah dirasuk syaitan lalu lari. Ia tidak berupaya hendak mengubatinya. Mereka percaya kata-kata Barsisa lalu beredar pergi.
Ketika tidur syaitan datang dalam mimpi saudara lelaki yang tua, memberitahu bahawa Barsisa telah membunuh adiknya dan menanamnya di tepi sebuah bukit. Ia tidak percayakan mimpinya dan mengatakan perkara yang dilihatnya dalam mimpi itu adalah daripada syaitan. Tidak mungkin Barsisa berbuat demikian kerana dia adalah seorang alim.
Mimpi yang sama terjadi selama 3 malam berturut-turut tetapi tidak dipedulikan olehnya. Syaitan datang kepada saudara lelakinya yang tengah dan mendatangkan mimpi yang sama. Dia juga tidak mempercayai mimpi tersebut. Kemudian syaitan pergi kepada saudaranya yang paling muda dan mendatangkan mimpi yang sama seperti yang dilakukan kepada saudara-saudaranya yang lain. Saudara yang muda ini telah memberitahu abang-abangnya tentang perkara yang telah dilihat dalam mimpinya. Akhirnya, mereka mengaku bermimpikan mimpi tentang hal yang sama.
Keesokan harinya mereka pergi menemui Barsisa, bertanyakan hal yang sebenar. Bersisa memberitahu mereka seperti jawapan yang lalu, lantas mereka beredar pergi. Ketika hendak pergi, iblis datang dan berkata bahawa saudara perempuan mereka ditanam di tepi bukit. Hujung kainnya terkeluar dari tanah. Mendengarkan cerita tersebut mereka semua pun pergi ke tempat yang dikatakan oleh syaitan tersebut. Mereka mendapati hal tersebut benar belaku.
Mereka semua kembali bersama kanak-kanak yang membawa kapak dan alat-alat lain lalu merobohkan rumah ibadah abid dan menangkapnya untuk diserahkan kepada raja. Barsisa mengaku yang dia telah berzina dengan perempuan yang berkenaan dan membunuhnya bila ia mengandung.
Ketika Barsisa dinaikkan ke atas tiang salib, syaitan datang bertanya.
“Adakah kau kenal aku?”
“Tidak”. Jawab Barsisa pendek.
“Akulah temanmu yang mengajar engkau doa-doa, maka aku perkenankan permintaanmu. Alangkah celakanya engkau. Engkau tidak malu kerana mengkhianati amanah yang dipertaruhkan kepadamu. Sesungguhnya aku sangka engkau adalah orang yang paling patuh dan taat perintah Tuhan dari kalangan Bani Israil. Kau tidak malu. Akulah yang menipu engkau.”. Si syaitan menyambung.
“Kau sekarang akan menjalani hukuman mati. Tidak ada seorang pun yang boleh menyelamatkan engkau… tetapi aku boleh melakukannya.”
“Apa yang patut kau lakukan.” Harapan Barsisa kepada syaitan.
“Berikan aku satu percubaan terakhir supaya aku boleh selamatkan kau daripada kesengsaraan ini. Aku akan dapat menutup pandangan mereka dan mengeluarkan kau dari tempatmu.” Jawab Syaitan.
“Apa dia” Tanya Barsisa lagi.
“Engkau sujud kepadaku.”
“Baik. Aku akan lakukan.” Barsisa berjanji akan sujud.
Ketika sujud iblis berkata, “Inilah yang aku mahukan darimu selama ini. Iaitu mengajak kau menjadi kafir. Kau akan menanggung akibat perbuatanmu dan aku takut kepada Tuhan.” Lalu iblis pun meninggalkan Barsisa.
Ketika itu juga Barisa menerima tikaman tombak dan panah. Ia mati dalam keadaan kafir.
Demikianlah kesudahan seorang ahli ibadah yang telah menghabiskan masa hampir 80 tahun dengan beribadah sahaja dan tidak pernah melakukan maksiat akhirnya berjaya ditewaskan oleh iblis laknatullah. Apatah lagi kita yang ibadahnya tidak pernah sempurna.. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita hingga ke akhir hayat.
Iktibar dari kisah Barsisa (reloaded)
1. BARSISA INGIN SELALU KELIHATAN LEBIH HEBAT DARI HAMBA ALLAH YANG LAIN.
Jangan sekali2 kita (ingin) merasa lebih hebat, mulia atau istimewa dari orang lain dan selalu ingin dipuji. Ini adalah warisan sifat Iblis yang sombong. Dia tidak mau diperintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam, karena dirinya merasa hebat dan mulia dari Nabi Adam as. Jadilah hamba Allah yang tunduk kepada aturan dan perintah Allah.
2. BARSISA BERGURU KEPADA GURU YANG TIDAK JELAS ATAU TERPUTUS SANAD SILSILAHNYA.
jangan gopoh dan malas ketika mencari guru, hanya karena janji-janji muluk, untuk menjadi orang yang istimewa lebih dari orang lain. Carilah guru yang ilmunya bersanad silailah dari guru-guru yang bersambung dengan Rasulullah SAW demikian pula guru tariqat, maka carilah guru Tariqat yang punya sanad silsilah tariqat yang jelas bersambung dengan Rasulullah SAW..
3. BARSISA TERTIPU OLEH JANJI MULUK YANG MEMATIKAN AKAL DAN MEMBUTAKAN HATI, SEHINGGA ILMU YANG ADA PADA BARSISA SEPERTI TIDAK ADA MANFAATNYA.
Teruslah mencari dan mengkaji ilmu agama bersama guru yang bersanad terutama sebab ilmu mencerahkan akal dan menghidupkankan hati. serta dapat membimbing kita. Jangan melulu, dengan membiarkan akal dan hati lemah, karena malas menuntut ilmu. Guru yang bersambung sanad dengan Rasulullah SAW, tak akan membiarkan muridnya jahil
4. BARSISA MERASA BERTUAH MENDAPAT “ILMU TAJDID” BAHWA UNTUK DAPAT MENCAPAI NIKMAT BARTAUBAT DAN BERIBADAH KEPADA ALLAH MESTI BERBUAT MAKSIAT TERLEBIH DAHULU, SATU ILMU YANG TAK PERNAH DIAJARKAN OLEH NABI DAN ULAMA SEBELUMNYA.
Dengan ilmu agama, kita terjaga dari kejahilan, mencari jalan pintas untuk mendapat taqwa, dengan cara yang tak pernah diajarkan Rasul SAW, dan ulama amilin. Tegakkan syariat, kuatkan tauhid, berdisiplin dalam bertariqat. Tidak akan pernah seseorang dapat mendekatkan diri kepada Allah dengan memulakan maksiat kepada Allah.
5. BARSISA MENGULANGI KESALAHAN SECARA TERUS MENERUS DAN MEMBIARKAN DIRINYA DITIPU SECARA BERULANG-ULANG.
Sebagai manusia wajar jika kita melakukan kesalahan, karena kejahilan atau keterlanjuran hawa nafsu kita. Jika sedar telah berbuat salah, segeralah bertaubat di atas kesalahan ini dan jangan mengulangi kesalahan yang sama. Rasul SAW bersabda: orang Mukmin tidak akan masuk lubang yang sama dua kali.
6. BARSISA BERUSAHA MENUTUPI KESALAHANNYA DARI MANUSIA, BARSISA MENJADI LEBIH TAKUT KEPADA MANUSIA DARI PADA KEPADA ALLAH SWT.
Kuatkan tauhid dan rasa ihsan kepada Allah. Sesungguhnya cukup Allah sebagai saksi kepada hati dan segala amal kita. Jangan berpura-pura di hadapan manusia untuk mendapat penghargaan dan pujian dari manusia, ini membuat kita tidak takut akan maksiat yang kita sembunyikan, sesungguhnya Allah senantiasa Melihat dan Mengetahui perbuatan kita.
7. BARSISA TIDAK MAU MENDENGAR INGATAN DAN NASEHAT DARI ORANG LAIN, WALAUPUN JELAS KEBENARAN YANG TELAH DISAMPAIKAN ITU
Jangan sekali-kali angkuh menolak nasehat orang lain, walaupun berasal dari orang yang kita anggap dibawah kita.atau kita zalimi, apalagi nasihat ulama. Setiap ingatan/teguran dari manusia, hakikatnya adalah dari Allah SWT. Rasul SAW bersabda: orang yang sombong adalah orang yang menganggap remeh orang lain dan menolak kebenaran.
8. KARENA EGONYA, BARSISA TETAP SETIA KEPADA GURUNYA YANG TELAH MENIPUNYA. HUKUMAN YANG DIJATUHKAN, KARENA MAKSIAT YANG DILAKUKANNYA, DIRASAKAN SEBAGAI UJIAN DAN BUKANNYA AZAB DAN INGATAN DARI ALLAH SWT.
Selalu muhasabah diri. Ada kalanya mushibah yang menimpa kita bukanlah semata-mata ujian. Boleh jadi ianya adalah azab dan ingatan dari Allah karena maksiat kita kepada Allah. Apalagi jika mushibah itu datang berulang-ulang dan secara berterusan.
9. MAKA BARSISA TETAP TEGAR MENGHADAPI NASIBNYA ITU. DIA SEMAKIN TAAT BERHABIS-HABISAN DAN BERKORBAN UNTUK MENDAPAT KEBEBASAN YANG DIJANJIKAN.
Tipuan iblis yang paling dahsyat adalah janji palsu, sehingga membuat diri taksub buta, merasa diri benar sedang sebenarnya dalam keadaan tersesat. Ini membuat kita mempertahankan kesesatan dengan berhabis2an walaupun sudah jelas kesalahan
dan kesesatannya. Jangan percaya kepada janji yang tak bersandarkan Quran dan Sunnah, Disinilah peranan ilmu yang menghidupkan akal dan hati amat penting
10. KARENA SUDAH LEMAH TUBUH DAN JIWA SEBAB TERLALU JAUH DISESATKAN IBLIS, AKHIRNYA BARSISA MENYERAH KEPADA SEMUA ARAHAN IBLIS. BARSISA YANG DAHULUNYA ORANG SOLEH AHLI IBADAH SELAMA BERPULUH TAHUN MATI DALAM KEADAAN MUSYRIK, OLEH SEBAB TIPUAN KEROHANIAN KEPADANYA SECARA SEDIKIT DEMI SEDIKIT..
Jangan putus asa kepada rahmat Allah, walaupun kita dalam keadaan lemah lahir dan batín, karena keadaan jasad sudah lemah atau usia sudah tua, jiwa pun sudah lemah sebab sudah terlalu jauh tersesat, tetap jangan putus asa kepada rahmat Allah. Ingatlah Rahmat Allah itu luas, dan Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita selama kita sempat bertaubatt nasuha sedang hayat masih dikandung badan.
Pengajaran
Betapa hebatnya ibadah dan ketaatan seseorang, tidak serta merta menjadi jaminan dia akan menjadi penghuni syurga.
Begitu juga, ketaatan dan kesolehan seseorang tidak menjadi jamian bahawa dia akan selamat dari pujuk rayu syaitan yang ingin menyesatkannya. Hal itu bertujuan agar manusia tidak merasa angkuh atau sombong dengan ibadahnya yang banyak.
Syaitan telah bersumpah akan menyesatkan manusia dari jalan Allah dengan cara apapun. Hal itu diungkapkan Allah swt dalam surat al-A'raf [7]: 16-17
Ertinya: “Iblis menjawab:" kerana Engkau telah menghukum saya sesat, maka saya pasti akan menyesatkan mereka dari jalanMu yang benar . Kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat).”