Sketsa yang berkisar mengenai raya yang disiarkan semasa bulan Syawal 2014, ada menyentuh beberapa isu antaranya isu kekeluargaan, adab dalam menegur, sikap bertoleransi, jangan mudah mengalah untuk berjaya, belajar perlu berguru, memahami situasi sebenar sebelum menghukum, bersangka baik, puji dan memaafkan kesalahan dan kesilapan orang lain.
SINOPSIS: Ida membuat keputusan untuk tidak ikut suaminya Imran pulang beraya ke kampung setelah terasa hati dengan teguran ibu mertuanya. Segalanya bermula apabila Ida menghantar gambar kuih tat yang dibuatnya sendiri ke dalam group whatsapp keluarga haji Baharom. Dalam masa yang sama kakak ipar Ida yang baru, Aisyah turut sama menghantar gamba kuih pelangi yang dibuatnya ke dalam group tersebut. Hasilnya, kuih pelangi Aisyah dipuji manakala kuih tat Ida dikritik. Ibarat kuih kembang semangkuk begitulah kritikan yang diberi oleh ibu mertua kepada Ida. Dek kerana terasa dihina dan malu dengan kritikan terbuka oleh ibu mertuanya itu yang dapat dilihat oleh semua ahli group, maka Ida membuat keputusan untuk keluar daripada group whatsapp keluarga haji Baharom dan nekad untuk tidak membuat kuih tat lagi di masa hadapan. Tindakkannya itu menjadi persoalan dikalangan ahli group. Tiba saatnya untuk pulang beraya, Ida dan suaminya Imran membuat haluan masing-masing walaupun puas dipujuk oleh Imran untuk pulang beraya bersama. Sekembalinya Imran ke kampung bersama seorang anaknya, membuatkan ibunya tertanya-tanya ke mana perginya Ida. Ibunya mendakwa Ida tidak pulang bersama kerana pasti ada masalah keluarga antara Imran dan Ida. Imran cuba memberitahu ibunya bahawa Ida tidak pulang bersama kerana terasa kecil hati. Ibunya terus mencelah dengan berkata memang patut pun Ida berkecil hati kalau suaminya ada perempuan lain tanpa ibunya menyedari puncanya yang sebenar. Adik Imran, Irfan yang kebetulan berada di situ yang juga mengetahui perkara sebenar cuba menambah dengan mengatakan bahawa Ida sebenarnya terasa hati dengan ibu mertuanya. Terkejut dengan dakwaan itu, ibunya bertanya
kembali mengapa Ida perlu berkecil hati dan terasa sentap dengannya?
Setelah seminggu berlalu, Aisyah berjumpa dengan Ida dan cuba memujuknya untuk pulang beraya bertemu dengan ibu mertua. Ida berkeras enggan pulang beraya dengan alasan bahawa ibu mertua lebih menyayangi Aisyah. Pujian melangit yang diberi oleh ibu mertua terhadap kuih pelangi yang dibuat Aisyah telah membuktikan segalanya. Aisyah menolak dakwaan Ida dengan mengatakan bahawa kuih pelangi yang dibuatnya itu adalah hasil bertahun-tahun lamanya mencuba. Jika dia ingin membuat kuih tat, belum tentu lagi hasilnya sebaik ini. Katanya lagi, kuih pelangi yang dibuatnya itu adalah semata-mata kerana ia adalah kuih kesukaan anaknya dan juga atas dorongan serta galakkan daripada suaminya yang inginkan anak-anak mereka merasai hasil tangan ibu mereka sendiri. Kerana berkat masakan air tangan ibu, anak-anak menjadi.
Pada mulanya, Ida tetap dengan keputusannya namun setelah berkali-kali dipujuk akhirnya Ida akur dan bersetuju untuk pulang ke kampung bertemu mata dengan ahli keluarga haji Baharom termasuk ibu mertuanya. Setelah bersua muka dan berbincang dari hati ke hati, segala kemelut yang melanda terpadam jua. Kata ibu mertuanya, Ida sudah lama menjadi menantunya dan sudah pasti lebih masak akan perangainya berbanding Aisyah yang hanya baru 4 bulan menjadi ahli keluarga haji Baharom. Tambahnya lagi, kuih tat itu adalah resepi turun temurun, maka seharusnya Ida perlu bertanya kepadanya terlebih dahulu sebelum cuba untuk membuat kuih tersebut. Tambahan pula itu adalah cubaan pertama kali Ida dalam membuat kuih tat dan sudah tentu banyak kurangnya. Tegurannya terhadap Ida tidak berniat untuk memalukannya bahkan ia hanya teguran semata agar Ida dapat memperbaiki hasil mutu kuih tatnya di masa hadapan. Katanya lagi, mungkin kerana tegurannya itu tidak berdepan-depan dan hanya di dalam tulisan yang tiada intonasi dan lenggok bahasa maka cara pemahamannya sudah tentu berbeza. Setelah itu, Ida mengakui bahawa setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Seharus
nya dia tidak mudah putus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Gagal dalam mencuba itu biasa. Tetapi usah berhenti dari terus mencuba hingga menuju puncak jaya. Untuk terus berjaya juga perlu kepada nasihat serta bimbingan daripada guru supaya silap dan salah dapat diperbetulkan.
Dengan berlakunya pertemuan itu, barulah segala kekusutan terungkai.
Peristiwa tersebut membuatkan Ida lebih memahami ibu mertuanya dan mengenali kakak iparnya.
Banyak pengajaran yang dapat diambil daripada drama tersebut sebagai contoh dalam isu KEKELUARGAAN,
walau apapun yang berlaku jangan sesekali memasamkan muka, memejamkan mata, memekakkan telinga dan memutuskan hubungan kekeluargaan. Berbincanglah andai di sana ada tertimbul kesilap fahaman dalam sesuatu isu. Usah kerana isu kecil dibesar-besarkan. Usah kerana harta dan tanah rela berputus silaturrahim. Menjaga silaturrahim itu wajib. Memutuskannya pula pasti mendapat murka Allah. Dengan bersilaturrahim dapat merapatkan hubungan, memanjangkan umur dan memurahkan rezeki.
ADAB DALAM MENEGUR.
Niat untuk menegur itu baik kerana menegur itu tujuannya ingin melihat perubahan seseorang itu ke arah yang lebih baik. Namun dalam menegur, perlu dijaga adabnya agar tujuan asal itu tidak lari dan orang yang ditegur dapat menerima teguran itu dengan hati terbuka. Dalam menegur juga, perlu melihat kepada situasi masa, tempat dan orang yang ingin ditegur. Pilihlah masa dan tempat yang sesuai. Elakkan menegur dikhalayak ramai yang boleh menjatuhkan air muka mereka yang ditegur. Walaupun teguran itu berdepan dan dekat di mata namun hati yang sudah tertutup boleh menjadi jauh. Jagalah niat ketika memberi teguran dan nasihat. Kerana niat yang baik itu akan membuahkan hasil yang baik.
SIKAP BERTOLERANSI.
Toleransi sangat digalakkan tatkala berdepan dengan hubungan dua hala supaya masing-masing dapat memahami situasinya dan tidak bertelagah antara satu sama lain. Mengalah tidak bererti kalah. Malah ketenangan dapat dirasai bila wujudnya tolak ansur. Sama-sama menang.
JANGAN MUDAH MENGALAH UNTU
K BERJAYA.
Orang yang gagal memberi alasan. Orang yang berjaya memberi hasil. Latihan yang konsisten sangat berhajat dalam menggapai kejayaan. Sekali gagal, cuba lagi. Orang yang gagal adalah mereka yang berhenti daripada terus berusaha. Tiada istilah gagal selagi ada usaha.
DALAM BELAJAR PERLU BERGURU.
Hal ini penting kerana mereka yang belajar tanpa berguru sebenarnya syaitanlah guru mereka. Sekiranya mereka berguru, segala salah dan silap dapat ditegur oleh guru kepada muridnya. Sedangkan bagi mereka yang belajar tanpa berguru maka tiada siapa yang akan memberi teguran dan membetulkannya andai ada salah dan silap. Tidak pelik jika kesalahan yang sama berulang kembali.
MEMAHAMI SITUASI SEBENAR SEBELUM MENGHUKUM.
Kita terlalu mudah menjatuhkan hukuman kepada orang lain sebelum menyelidiki dan mengetahui punca sebenar sesuatu masalah itu timbul. Tanpa bertanya dan memahami, terus saja menghukum seolah-olah kita mengetahui segalanya. Ingat, apa yang terlihat di mata belum tentu ia betul. Apa yang terdengar di telinga belum tentu ia benar. Apa yang terasa di hati belum tentu ia pasti. Apa yang terlintas di fikiran belum tentu ia boleh dijadikan hukuman. Fahami dahulu sebelum menghukum.
BERSANGKA BAIK.
Bersangka baiklah dalam semua keadaan sebelum kita bersangka buruk.
Bersangka buruk tidak membawa apa-apa kebaikan. Hanya dapat mengeruhkan keadaan, menyakitkan hati, memasamkan muka, merosakkan minda dan mengurangkan iman. Pilihlah untuk bersangka baik. Itu adalah amalan ahli syurga.
PUJI.
Semua orang suka dipuji walau ia tidak benar. Tiada yang suka dihina atau dikritik walau ia benar. Bukankah yang manis itu racun, yang pahit itu ubat? Bagi si pemuji, pujilah dengan hati yang telus ikhlas. Dalam memuji jangan sampai memuja. Kerana yang layak dipuja hanyalah Allah. Puji biar berpada-pada jangan berlebih-lebih. Berlaku adil dalam memuji agar tiada yang terasa hati. Pujian itu umpama ubat yang mampu memberi semangat & motivasi kepada yang dipuji. Pujian juga adalah hadiah dan sebagai tanda penghargaan kita ke pa
da mereka. Jadi usah lokek untuk memberi pujian kepada orang yang tersayang. Mulakan hari ini. Pujilah dengan semudah kata: "Pandai anak umi.., Bagus! cuba lagi ya.., Umi sayang anak umi ini.., Awak hebat!.. Tahniah kerana awak telah berjaya..., Terima kasih :) , Saya tahu awak boleh buat.., dll.
Percaya atau tidak, dengan pujian dan penghargaan yang ringkas itu, boleh memberi impak yang besar dan makna yang mendalam buat mereka. Kuasa pujian itu hebat. Mampu merubah dari yang lemah menjadi kuat. Yang layu menjadi jitu. Bagi yang dipuji pula, ingatlah kekurangan diri. Segala kelebihan, kecantikan dan kekuatan yang dimiliki itu adalah pinjaman dan kurniaan dari Ilahi. Pujilah kembali kepada yang hanya layak dipuji, Allah. "Haza min fadhli Rabbi"
MEMAAFKAN KESALAHAN DAN KESILAPAN ORANG LAIN.
Meminta maaf memang mudah namun untuk memaafkan kesalahan orang lain kepada kita tidak semudah yang disangka. Katanya: "Senang-senang dia dah mencalarkan imej, merosakkan masa depan, menjatuhkan maruah, memalukan aku depan2... Aah.. tidak semudah itu untuk ku memaafkan dirimu."
Perasaan kesumat dendam tanpa ada kemaafan ia seolah-olah diibaratkan diri sendiri meminum racun dengan harapan agar orang lain mati. Sedangkan, mereka yang kita benci dan sakit hati dengannya, tidak terluka dan tidak memberi apa-apa kesan dengan kebencian dan dendam kita padanya. Jadi mengapa perlu kita membuang masa dan menyeksa diri?
Terlalu berkira-kira dalam memberi kemaafan. Akhirnya diri sendiri yang rugi. Hakikatnya, Kemaafan yang diberi adalah untuk diri sendiri. Hati menjadi senang. Dada menjadi lapang. Fikiran menjadi tenang. Paling utama, memberi kemaafan adalah antara ciri orang yang bertaqwa. Maafkanlah. Tidakkah kamu ingin Allah mengampunkan dosa-dosamu?
Akhir kata, anda hebat! Tahniah kerana berjaya membaca hingga tamat. Moga ketemu lagi. Terima kasih.
Nik Saiful Islam bin Nik Razi
10 Syawal 1435
Kredit Doktor Syed Noor
Dipetik dari group Telegram
Tiada ulasan:
Catat Ulasan